Dari kiri:1. Encik Ng Khoon Haur, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, GD Properties2. YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan3. Datuk Wong Seng Tong, Timbalan Pengerusi Kumpulan, GD Properties
06 Jun 2026, 3:40am
KUALA LUMPUR — GD Properties hari ini mengumumkan bahawa ia telah secara rasminya memecah tanah bagi projek KL360 @ Menara GD, sebuah pembangunan bercampur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.37 bilion di daerah pusat perniagaan (CBD) Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Stesen MRT Raja Uda di sepanjang Jalan Tun Razak.
Projek ini menghidupkan semula pembangunan yang telah lama terbengkalai dengan visi baharu yang berani untuk menjadikannya sebagai mercu tanda seni bina dan pelancongan di Kuala Lumpur. Ia sekaligus menandakan lembaran baharu bagi para pembeli yang telah menunggu selama hampir sedekad untuk melihat sebarang kemajuan. Selain menunaikan janji yang dibuat kepada pembeli dan pemegang taruh, pembangunan KL360 @ Menara GD ini dijangka akan menyumbang kepada aktiviti ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peningkatan kerancakan komersial di kawasan sekitarnya.
Pada hari Sabtu, sebuah majlis pecah tanah telah diadakan di tapak projek tersebut, yang dirasmikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), berkata:
"Kebangkitan semula projek ini mencerminkan usaha di peringkat nasional yang lebih meluas oleh pihak Kerajaan, yang diterajui oleh KPKT, untuk menangani isu pembangunan perumahan terbengkalai dan melindungi kepentingan pembeli rumah. Hari ini bukan sekadar permulaan kerja-kerja pembinaan. Ia melambangkan pemulihan keyakinan, pembinaan semula kepercayaan, dan pelaksanaan tanggungjawab yang telah terlalu lama tertangguh. Setiap projek yang dipulihkan mewakili keluarga sebenar, aspirasi yang nyata dan pembaharuan masa depan untuk para pemilik rumah."
Datuk Wong Seng Tong, Timbalan Pengerusi Kumpulan GD Properties, berkata:
“Di GD Properties, kami amat percaya akan peranan kerjasama antara sektor awam dan swasta sebagai pemacu impak sosial yang positif. Melalui projek ini, kami sejajar sepenuhnya dengan aspirasi KPKT untuk mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang tahun 2030.
Majlis pecah tanah hari ini mencerminkan komitmen kami untuk memastikan pembangunan ini dapat disiapkan dengan jayanya dan penuh tanggungjawab. Kami memahami betapa pentingnya projek ini bagi mereka yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya untuk melihat ia digerakkan ke hadapan.
Dengan mengambil peranan sebagai "white knight" (penyelamat projek) untuk menghidupkan semula dan menyiapkan projek ini, GD Properties akan menyuntik nafas baharu ke dalamnya dengan visi yang diperbaharui, rangka kerja pelaksanaan yang diperkukuh, serta perkongsian strategik.
Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta semua rakan strategik kami termasuk Bank Rakyat dan China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd, atas sokongan dan keyakinan mereka."
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), lebih daripada 1,500 projek perumahan yang melibatkan lebih 176,000 unit kediaman dengan jumlah GDV melebihi RM140 bilion telah berjaya dipulihkan atau dikeluarkan daripada status terbengkalai sejak tahun 2023 melalui pelbagai inisiatif yang diterajui oleh kerajaan.
Web Edited by YAN PHENG LIANG
yanphengliang@suketv.com
