YBhg. Datuk Lim Poh Yit, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya
22 June 2026, 6:30pm
KUALA LUMPUR – Pemaju gaya hidup bandar, Titijaya Land Berhad (“Titijaya” atau “Kumpulan”) mengumumkan cadangan pengambilalihan sebidang tanah seluas 6.071 hektar di Bukit Raja, Selangor, dengan harga RM47.3 juta. Cadangan pengambilalihan ini seterusnya memperluaskan lagi simpanan tanah Kumpulan di lokasi-lokasi utama yang menjadi tumpuan kepada pertumbuhan bandar dan ekonomi Malaysia, di samping menyediakan peluang pembangunan masa hadapan yang memanfaatkan lokasi strategik Bukit Raja, kemudahan infrastruktur yang komprehensif, serta jaraknya yang berhampiran dengan pusat-pusat bandar utama.
Pada hari Isnin, Titijaya Makmur Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh tidak langsung Kumpulan, telah memeterai satu perjanjian jual beli dengan penjual, Jasa Cendana Sdn. Bhd., berhubung dengan pengambilalihan tersebut.
Pertimbangan belian tersebut telah dicapai atas dasar kesanggupan pembeli dan penjual (willing-buyer willing-seller), dan selepas mengambil kira, antara faktor-faktor lain, lokasi tanah yang strategik serta nilai pasaran bagi hartanah yang setanding di kawasan sekitarnya.
YBhg. Datuk Lim Poh Yit, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, berkata:
"Kami teruja untuk memperluaskan kehadiran kami di Bukit Raja dan kawasan Lembah Klang yang lebih luas melalui pengambilalihan ini.
Bukit Raja merupakan sebuah perbandaran yang semakin pesat membangun dan meriah, yang terletak di antara Klang dan Shah Alam. Hasil daripada kedudukannya yang berhampiran dengan Setia Alam, Pelabuhan Klang dan KLIA, ditambah pula dengan jaringan jalan raya yang sangat baik ke seluruh Lembah Klang, Bukit Raja telah muncul sebagai penerima manfaat utama daripada pembangunan logistik dan perindustrian yang semakin berkembang. Hal ini telah membawa kepada limpahan permintaan untuk hartanah komersial dan kediaman di seluruh perbandaran tersebut.
Tambahan pula, stesen LRT3 Bukit Raja Selatan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, sebagai sebahagian daripada Laluan Shah Alam LRT3 yang menghubungkan Klang dengan Bandar Utama dan kawasan lain di Lembah Klang. Pembangunan infrastruktur utama ini dijangka akan terus memacu permintaan hartanah di Bukit Raja dan kawasan Klang yang lebih luas.
Pengambilalihan pada hari ini seterusnya memperluaskan simpanan tanah kami yang terdiri daripada aset-aset di lokasi strategik merentasi Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Sabah, lantas memberikan Titijaya pelbagai peluang pembangunan pada masa hadapan. Setakat akhir Tahun Kewangan 2025 (FY2025), aset tanah kami yang belum dibangunkan membawa potensi nilai pembangunan kasar (GDV) masa hadapan yang melebihi RM7 bilion.
Kesimpulannya, kami melihat urus niaga ini sangat menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang kami dan akan menjadi penyumbang yang positif kepada perolehan dan perancangan pembangunan kami pada masa hadapan."
Web Edited by YAN PHENG LIANG
yanphengliang@suketv.com
