Email : info@suketv.com
Phone : +60 11 6068 8208
FUJIFILM Business Innovation Malaysia Meraikan 60 Tahun Transformasi Perniagaan di Malaysia
Encik Naoki Hama, Presiden merangkap Pengarah Perwakilan FUJIFILM Business Innovation Corp, menyampaikan ucapan beliau pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 FUJIFILM Business Innovation Malaysia.

17 July 2026, 5:00pm

  • Kehadiran selama 60 tahun memberikan kelebihan daya saing yang ketara bagi FUJIFILM Business Innovation Malaysia

MALAYSIA — FUJIFILM Business Innovation Malaysia, sebahagian daripada Kumpulan Fujifilm, dengan bangganya meraikan enam dekad di Malaysia, menandakan 60 tahun ia menyokong organisasi di seluruh negara melalui inovasi, teknologi dan transformasi perniagaan.


Sejak bertapak pada tahun 1966, syarikat ini telah berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi Malaysia, membantu perniagaan meningkatkan produktiviti, menerima transformasi digital dan mengemudi dunia yang semakin berhubung serta pintar. Hari ini, FUJIFILM Business Innovation Malaysia terus membina legasi ini dengan menyediakan penyelesaian digital bersepadu yang membolehkan organisasi bekerja dengan lebih pintar, lebih pantas dan lebih mampan.


Malaysia Kekal Sebagai Pasaran Strategik Yang Penting untuk FUJIFILM Business Innovation


Malaysia merupakan sebuah pasaran strategik yang penting dalam rangkaian Asia Pasifik FUJIFILM Business Innovation, dengan Malaysia berfungsi sebagai pasaran pertumbuhan serta hab utama untuk memajukan inisiatif transformasi digital di seluruh Asia Tenggara.


Sehingga Jun 2026, FUJIFILM Business Innovation Malaysia menggajikan kira-kira 450 orang pekerja di seluruh negara, yang terdiri daripada golongan profesional dalam perkhidmatan jualan, perkhidmatan teknikal, sokongan pelanggan, operasi dan fungsi korporat.


Malaysia menawarkan persekitaran perniagaan yang dinamik, ekonomi yang progresif secara digital, dan asas pelanggan yang pelbagai merentasi industri utama termasuk pembuatan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan, peruncitan dan sektor awam.


Sejajar dengan strategi serantau FUJIFILM Business Innovation, Malaysia terus memacu inovasi, penglibatan pelanggan, inisiatif kemampanan, dan penerimagunaan teknologi baharu muncul yang membantu organisasi meningkatkan produktiviti, memperkukuh daya tahan perniagaan dan mencapai matlamat transformasi digital mereka.


Encik Naoki Hama, Presiden merangkap Pengarah Perwakilan FUJIFILM Business Innovation Corp, berkata, "Selama 60 tahun, Malaysia telah menjadi sebahagian penting dalam perjalanan kami di Asia Pasifik. Kami bersyukur atas kepercayaan dan sokongan pelanggan, rakan kongsi, pekerja dan komuniti kami yang telah menyumbang kepada kejayaan kami. Berpandukan Matlamat Kumpulan kami iaitu “Memberikan Dunia Lebih Banyak Senyuman” (Giving our world more smiles), kami akan terus berinovasi dan bekerjasama rapat dengan para pelanggan serta rakan kongsi kami di Malaysia untuk menangani cabaran perniagaan yang sentiasa berubah dan mencipta peluang pertumbuhan baharu."


Kehadiran 60 Tahun Menyaksikan Kelebihan Daya Saing Yang Ketara


Selama enam dekad, FUJIFILM Business Innovation Malaysia telah berada di barisan hadapan dalam mengubah cara perniagaan berkomunikasi, mencipta dan berhubung.


Perjalanan FUJIFILM Business Innovation Malaysia bermula pada tahun 1966, apabila Rank Xerox -- yang kemudiannya dikenali sebagai Fuji Xerox sebelum menukar namanya kepada FUJIFILM Business Innovation pada tahun 2021 -- pertama kali tiba di Malaysia.


Perasmian berprestij pejabat Rank Xerox oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, telah menetapkan rentak bagi satu perkongsian yang berdedikasi untuk menyokong dan memperkasakan perniagaan di Malaysia selama berdekad-dekad.


Pada tahun-tahun berikutnya, syarikat ini telah mengorak langkah merentasi pasaran Malaysia dengan mempelopori kempen jerayawara (*roadshows*) dan membawa mesin penyalin dari tingkat ke tingkat ke dalam menara pejabat. Konsep revolusionernya iaitu "Jangan Beli-Sewa" (*Don't Buy-Rent*) mendapat sambutan yang hebat daripada agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad, menandakan bermulanya era baharu dalam pengurusan dokumen. Pada tahun 1980-an, pencetak laser pertama di Malaysia — Xerox 4045 — telah mengubah kaedah percetakan di pejabat, dan menetapkan penanda aras baharu bagi kelajuan, kecekapan, dan kualiti cetakan di seluruh pasaran.


Pertumbuhan Malaysia sepanjang 60 tahun yang lalu seiring dengan peralihan FUJIFILM Business Innovation daripada penyedia penyelesaian dokumen tradisional kepada rakan kongsi transformasi digital yang dipercayai. Hari ini, FUJIFILM Business Innovation Malaysia menyokong perniagaan dalam perjalanan transformasi digital mereka, dengan menyediakan penyelesaian hujung ke hujung yang merangkumi perkhidmatan cetakan terurus, automasi aliran kerja, pengurusan dokumen, perkhidmatan IT, penyelesaian awan, penyumberan luar proses perniagaan, dan teknologi cetakan pengeluaran.


Encik Hama menekankan bahawa kehadiran syarikat selama enam dekad di Malaysia terus membezakan FUJIFILM Business Innovation daripada para pesaingnya, sambil berkata, "Kehadiran 60 tahun kami di Malaysia merupakan kelebihan daya saing yang ketara. Sepanjang beberapa dekad yang lalu, kami telah membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan, rakan kongsi perniagaan dan komuniti, sambil membangunkan pemahaman yang mendalam tentang keperluan organisasi Malaysia yang kian berkembang. Digabungkan dengan keupayaan inovasi global kami, pengalaman tempatan kami yang luas membolehkan kami menyampaikan penyelesaian yang canggih di peringkat global namun relevan di peringkat tempatan."


FUJIFILM Business Innovation Malaysia Bakal Tingkatkan Pelaburan dalam Penyelesaian Dikuasakan AI & Automasi Pintar


Sepanjang lima tahun akan datang, FUJIFILM Business Innovation Malaysia akan terus memacu transformasinya menjadi penyedia penyelesaian dan perkhidmatan untuk mengubah cara pelanggan bekerja.


Keutamaan strategik FUJIFILM Business Innovation Malaysia termasuk memperluas portfolio transformasi digitalnya untuk menyokong organisasi yang mengubah cara mereka bekerja -- melalui penyelesaian seperti automasi aliran kerja, LLM (large language model) OCR, penyelesaian pengurusan dokumen, perkhidmatan IT, keselamatan siber dan perkhidmatan terurus. Syarikat akan meningkatkan pelaburan dalam penyelesaian berasaskan AI dan automasi pintar untuk membantu organisasi melancarkan operasi dan meningkatkan proses pembuatan keputusan.


Selain itu, syarikat akan memperdalam kerjasamanya dengan rakan kongsi ekosistem untuk menyampaikan penyelesaian bersepadu yang menangani keperluan pelanggan yang semakin berubah-ubah di samping memajukan amalan perniagaan mampan melalui teknologi cekap sumber, inisiatif ekonomi pekeliling, serta produk dan perkhidmatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Usaha ini mengukuhkan komitmen FUJIFILM Business Innovation Malaysia untuk membantu para pelanggan mencapai objektif perniagaan dan juga kemampanan mereka.


Melangkah ke dekad ketujuhnya di Malaysia, FUJIFILM Business Innovation kekal komited untuk memperkasakan organisasi dengan teknologi yang inovatif dan perkongsian yang dipercayai bagi membolehkan pertumbuhan jangka panjang.


Berbekalkan kepakaran tempatan selama 60 tahun dan disokong oleh keupayaan inovasi global Kumpulan Fujifilm, syarikat ini berada pada kedudukan yang amat baik untuk menyokong organisasi di Malaysia tatkala mereka menerima era transformasi digital yang dipacu AI seterusnya.

YPL circle

Web Edited by YAN PHENG LIANG

yanphengliang@suketv.com

Others also read