Email : info@suketv.com
Phone : +60 11 6068 8208
Titijaya Meterai Perjanjian Konsortium Dengan Permodalan Negeri Selangor Bagi Projek Rumah Idaman Bernilai GDV RM343 Juta
Dari kiri:
1. Dato' Faizal bin Abdullah, Pengarah Eksekutif Titijaya Land Berhad
2. Datuk Lim Poh Yit, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad
3. YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar bin Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)
4. Dato' Puasa bin Md. Taib, Pengarah PNSB Construction Sdn Bhd (PCSB)

12 Jun 2026, 10:55am

SHAH ALAM – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), melalui anak syarikat milik penuhnya, PNSB Construction Sdn. Bhd. (PCSB) memeterai perjanjian konsortium secara rasmi pada hari ini bersama Titijaya Land Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya, NPO Builders Sdn. Bhd. (NPO Builders). Kerjasama strategik yang beroperasi di bawah nama "Consortium of PNSB Construction-NPO" ini bertujuan melaksanakan pembangunan perumahan mampu milik di bawah program Rumah Idaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM343 juta.

Konsortium ini menggabungkan keupayaan taktikal PCSB di peringkat negeri serta kepakaran pembangunan hartanah yang dimiliki oleh NPO Builders. Fokus utama konsortium ini adalah untuk menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti, sekaligus menyokong aspirasi dan usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Pembangunan ini akan dilaksanakan di atas sebahagian plot tanah strategik seluas 12.997 ekar (Sebahagian Lot 85722) dan bakal merangkumi sebanyak 1,202 unit kediaman yang diperincikan seperti berikut:

Rumah Idaman Kategori 1 (RM250,000): 240 unit (1,000 kps). 

Rumah Idaman Kategori 2 (RM295,000): 962 unit (1,080 kps). 


Di bawah perjanjian konsortium ini, PCSB akan bertindak sebagai rakan pelaksana (delivery partner) utama yang bertanggungjawab memfasilitasi perancangan strategik serta menguruskan urusan berkaitan kelulusan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri. Langkah ini penting bagi memastikan setiap polisi serta aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan rumah mampu milik dipatuhi sepenuhnya oleh konsortium.


Manakala, NPO Builders pula akan menerajui fungsi pengurusan projek yang mengemudi fasa pembinaan, menguruskan sumber kepakaran teknikal, tenaga kerja, jentera serta memastikan projek disiapkan mengikut jadual kerja yang ditetapkan.                   

YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, turut mengulas mengenai perjanjian tersebut:

"Kerjasama ini merupakan satu lagi bukti komitmen berterusan PNSB dalam menyediakan ruang kediaman yang kondusif dan mampu milik untuk rakyat Selangor. Dengan menyatukan kekuatan PCSB dalam aspek pemudah cara kawal selia serta kepakaran teknikal yang ada pada NPO Builders, PNSB yakin dapat mengoptimumkan tempoh pelaksanaan projek Rumah Idaman ini. Fokus PNSB adalah untuk memastikan harga yang berpatutan tidak menjejaskan kualiti binaan, dan konsortium ini dibentuk atas dasar niat baik serta keuntungan bersama."

YBhg. Datuk Lim Poh Yit, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad, menambah:

“Kerjasama strategik ini sejajar dengan aspirasi Titijaya untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui penyediaan kediaman berkualiti pada harga mampu milik. Dengan pengalaman luas NPO Builders dalam pengurusan projek, kami yakin Rumah Idaman akan memperkukuh akses pemilikan rumah di Selangor.”

Majlis menandatangani perjanjian konsortium ini turut dihadiri oleh barisan pengurusan kanan daripada PNSB dan Titijaya Land Berhad.

YPL circle

Web Edited by YAN PHENG LIANG

yanphengliang@suketv.com

Others also read