Puan Yeo Bee Hwan, Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan Refining Company Berhad
26 Mei 2026, 7:05pm
• Prestasi yang bertambah baik didorong oleh purata harga jualan yang lebih tinggi
• Disokong oleh operasi yang stabil serta pengurusan risiko kewangan yang berdisiplin
KUALA LUMPUR — Hengyuan Refining Company Berhad (“Hengyuan” atau “Syarikat”) mencatatkan untung bersih sebanyak RM525.55 juta bagi suku kewangan yang berakhir 31 Mac 2026 ("S1 TK26"). Prestasi ini menandakan Syarikat kembali mencatat keuntungan berbanding kerugian bersih sebanyak RM170.45 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu (“S1 TK25”), sekaligus mencapai untung bersih suku tahunan tertingginya sejak S2 TK22. Hasil juga melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, hampir meningkat dua kali ganda tahun ke tahun kepada RM4.63 bilion berbanding RM2.40 bilion pada S1 TK25.
Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh peningkatan purata harga jualan bagi semua produk utama susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah. Prestasi itu turut disokong oleh operasi loji yang berdaya tahan dan stabil, serta pengurusan risiko kewangan yang berdisiplin, yang menyumbang kepada pertumbuhan hasil yang lebih tinggi.
Puan Yeo Bee Hwan, Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan Refining Company Berhad, berkata:
"Kami berbesar hati untuk mengumumkan satu lagi prestasi suku tahunan yang kukuh pada S1 TK26. Pencapaian ini menyediakan landasan yang kukuh bagi Hengyuan untuk mengharungi tahun yang cerah, walaupun terdapat ketidaktentuan yang ketara dalam harga minyak global.
“Pelaksanaan operasi kami yang berdisiplin dan prestasi loji yang stabil, bersama pengurusan risiko dan kewangan yang proaktif — usaha strategik yang telah dilaksanakan sejak 2024 — membolehkan kami mengoptimumkan campuran produk serta memanfaatkan margin produk yang lebih tinggi bagi produk seperti gasoil dan bahan api jet. Kami percaya penambahbaikan struktur ini akan terus diterjemahkan kepada momentum pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan.
“Hasilnya, kami berada di kedudukan yang kukuh untuk mengemudi persekitaran operasi luaran hari ini yang semakin tidak menentu, di mana dinamik penawaran dan permintaan terus dipengaruhi oleh perkembangan makroekonomi, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meruncing.
“Melangkah ke hadapan, Hengyuan kekal komited terhadap kecekapan operasi, kualiti produk, dan pengurusan risiko kewangan yang berdisiplin. Kami terus menyasarkan matlamat untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2026 dan memberikan pulangan yang lebih baik kepada semua pemegang saham kami.”
Web Edited by YAN PHENG LIANG
yanphengliang@suketv.com
